KOTA KINABALU: Penduduk di kawasan pesisir pantai Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu diminta terus berwaspada susulan amaran tsunami yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 melanda Mindanao, Filipina pagi ini.
MET Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan gempa bumi tersebut berlaku pada jam 7.37 pagi dengan kedalaman 50 kilometer, berpusat pada latitud 5.7 darjah Utara dan longitud 125.1 darjah Timur di Mindanao, Filipina.
Kejadian itu turut menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna.
Berdasarkan analisis MET Malaysia, tsunami setinggi kira-kira 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari hari ini.
Susulan amaran tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna untuk menjalankan pemantauan di kawasan pesisir pantai, penempatan penduduk serta lokasi berisiko di daerah terlibat.
Menurut laporan pemantauan JBPM Sabah, setakat masa laporan dikeluarkan, tiada sebarang kerosakan struktur, kejadian luar biasa, peningkatan paras air laut yang membahayakan mahupun insiden kecemasan dilaporkan di kawasan yang dipantau.
“Keadaan semasa adalah terkawal dan selamat,” menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah.
JBPM Sabah memaklumkan pasukan bomba akan terus melaksanakan pemantauan berterusan serta berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan.
Pada masa sama, orang ramai khususnya penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pesisir pantai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
MET Malaysia turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan kejadian tersebut dan akan mengeluarkan maklumat terkini sekiranya terdapat perubahan atau perkembangan baharu.
Orang awam disaran mendapatkan maklumat rasmi berkaitan cuaca, gempa bumi dan amaran tsunami melalui aplikasi myCuaca, laman sesawang rasmi serta saluran media sosial rasmi MET Malaysia, selain mengikuti hebahan yang dikeluarkan oleh agensi keselamatan dan pengurusan bencana negeri.
