KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengisytiharkan esok, iaitu 29 November 2025 (Sabtu) sebagai Hari Kelepasan Am Khas bagi seluruh negeri bagi memudahkan rakyat keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, melalui satu kenyataan rasmi, semalam.
Menurut beliau, cuti khas tersebut bertujuan memastikan semua pengundi Sabah diberi ruang dan kelapangan masa yang mencukupi untuk melaksanakan hak dan peranan mereka dalam proses demokrasi negeri.
“Cuti khas ini diwujudkan bagi membantu rakyat Sabah keluar mengundi dengan lebih teratur dan tanpa kekangan, sekali gus memastikan proses pengundian berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.
Pengumuman ini juga menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memelihara prinsip demokrasi, selain menggalakkan penyertaan rakyat secara menyeluruh dalam pemilihan kerajaan baharu bagi penggal seterusnya.
