LAHAD DATU: Tiga maut manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Innova dan lori treler bermuatan kernel sawit di Jalan Dewata, Pondok Ketam, di sini pada petang Isnin.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 1.25 tengah hari melalui NGMERS999 sebelum sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 32 kilometer.
Pasukan tiba pada jam 1.58 petang.Menurut Komander Operasi, PBK I Mohammad Akbar Mohambar, kemalangan berlaku apabila Toyota Innova yang datang dari arah Lahad Datu ke Kunak bertembung dengan lori treler 30 tan dari arah bertentangan sebelum kenderaan MPV tersebut diseret kira-kira 30 meter.
Empat mangsa berada di dalam Toyota Innova, dan Pegawai Perubatan KKM mengesahkan tiga daripadanya termasuk lelaki berusia 56 tahun dan 43 tahun serta seorang wanita berusia 39 tahun meninggal dunia di lokasi.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital menggunakan ambulans KKM.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas penyelamatan jalan raya (RTA) untuk membuka ruang kerja dan mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Pemandu lori treler dilaporkan selamat dan telah ke balai polis berhampiran sebelum ketibaan pasukan bomba.
Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut manakala punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.12 petang setelah lokasi disahkan selamat.
