KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM8.8 juta terhadap bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi selepas beliau didapati bersalah atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.77 juta bagi urusan tender perkhidmatan pengiklanan pada 2018.
Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 34, di akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bermula pada hari keputusan dibuat. Sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dipenjara tambahan selama tujuh tahun.
Dalam penghakimannya, Suzana menegaskan bahawa mahkamah telah meneliti keseluruhan keterangan saksi sebelum memutuskan bahawa pembelaan tidak berjaya menangkis anggapan kebarangkalian di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM 2009.
“Saya berharap hukuman ini dapat menginsafkan kamu. Kamu masih muda, gunakan peluang ini untuk berubah menjadi insan lebih baik,” katanya.
Tertuduh dilihat menangis teresak-esak di kandang tertuduh sebaik keputusan diumumkan.
Bagi lapan pertuduhan tersebut, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga enam tahun serta denda antara RM75,000 hingga RM2.5 juta, namun semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.
Walau bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
Jumlah ikat jamin turut dinaikkan daripada RM200,000 kepada RM280,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Semasa mitigasi, peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman minimum, memaklumkan bahawa tertuduh ketika kejadian masih muda, naif dalam hal politik, memiliki latar pendidikan baik dan merupakan pesalah pertama yang memberi kerjasama penuh sepanjang lima tahun perbicaraan.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How menegaskan bahawa hukuman berat wajar dikenakan kerana kesalahan itu mencemarkan integriti penjawat awam dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap urus tadbir kerajaan.
“Sebagai Setiausaha Sulit Kanan, dia sepatutnya menjaga amanah dan bukan mengkhianatinya,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Mohd Saifullah menerima suapan berjumlah RM1.765 juta daripada pemilik sebuah syarikat melalui seorang individu sebagai dorongan membantu mendapatkan tender Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan dan Kreatif bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia untuk Tahun Melawat Malaysia 2020.
Kesalahan dilakukan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Dengkil antara 21 Disember 2018 dan 1 Mac 2019.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pada 23 Februari 2024, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri atas lapan pertuduhan tersebut selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, namun beliau dilepas dan dibebaskan daripada 11 pertuduhan lain melibatkan suapan RM820,530 berkaitan tender sama.
