KOTA BELUD: Anak Sabah yang membeli rumah pertama bakal menerima bantuan pembayaran wang pendahuluan (deposit) sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberikan semula mandat untuk memerintah pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah) Ke-17, 29 November ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan pimpinannya merancang menyediakan pembayaran deposit percuma bagi rumah berharga di bawah RM500,000, memandangkan pembeli lazimnya perlu menyediakan 5 hingga 10 peratus sebagai wang pendahuluan.
“Jika kembali memerintah, kita akan bantu bayar deposit percuma kepada pembeli rumah pertama yang layak,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga GRS bagi DUN Tempasuk dan Usukan, di kediaman Datuk Japlin Akim, di sini pada Selasa.
Selain itu, Hajiji turut mengumumkan inisiatif baharu berupa bantuan bulanan kepada rakyat Sabah berumur 60 tahun ke atas, yang akan dilaksanakan apabila perundingan pengembalian hasil 40 peratus kepada Sabah dimuktamadkan dan pendapatan negeri meningkat.
Menurut beliau, pelbagai perancangan lain sedang dirangka namun tidak diumumkan secara terperinci bagi mengelakkan dakwaan pembangkang yang sering menuduh GRS membuat janji politik semata-mata.
Dalam ucapannya, Hajiji mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan slogan pembangkang seperti “Selamatkan Sabah” yang disifatkannya sekadar retorik tanpa penyelesaian hakiki.
Beliau menegaskan, pemimpin pembangkang pernah diberi peluang menerajui kerajaan namun gagal menyelesaikan isu asas rakyat termasuk jalan raya, air dan infrastruktur.
“Mereka cakap kita gagal, tapi sebenarnya mereka yang gagal. Ada yang jadi Menteri Kerja Raya tetapi jalan di kawasan sendiri pun tidak dibuat. Di Semporna, sampah bersepah tetapi konon mahu majukan Sabah,” katanya.
Mengulas calon GRS di Tempasuk dan Usukan, Hajiji selaku Pengerusi GRS yakin kedua-duanya mampu mencapai kemenangan, sekali gus memastikan pembangunan lebih teratur di Kota Belud.
“Saya berharap akan berlaku perubahan dari segi pembangunan di Kota Belud, khususnya Tempasuk dan Usukan. Sebab itu kita perlu beri kepercayaan kepada orang baharu,” katanya.
