KOTA KINABALU: “Kita sudah bekerja lebih dua tahun, bukan selepas diumumkan sebagai calon,” demikian tegas calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Mohamed Razali Razi mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 ketika ditemui media selepas program Kembara Jentera Sayap Darau di Kampung Likas semalam.
Beliau menekankan bahawa gerak kerja jentera GRS di Darau bukanlah bermusim, tetapi berterusan dan konsisten sejak awal.
Razali yang juga Setiusaha GRS berkata, turun padang setiap hujung minggu sudah menjadi budaya kerja jentera Darau, sekali gus membezakan pendekatan GRS daripada parti-parti yang bergerak hanya ketika musim pilihan raya.
“Kita punya program bukan selepas umum calon. Kita sudah bekerja lebih daripada dua tahun. Setiap Sabtu, Ahad, kita sentiasa turun padang untuk menjalankan program. Itu budaya kita dan berbeza dengan parti-parti sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegur golongan belia agar tidak terlalu menjadikan PRU-17 ini sebagai pesta semata-mata, sebaliknya kembali kepada asas perjuangan dan fokus terhadap tanggungjawab parti.
“Kita jangan bawa PRU ini sebagai satu pesta. Kamu boleh berseronok, tapi jangan lalai. Pokoknya ialah memastikan kita tunjukkan kepada masyarakat bahawa parti kita mengamalkan semangat inklusiviti dan fokus kepada kerja asas,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai potensi kemenangan GRS di Darau dan mengalahkan penyandang sebelum ini, iaitu Datuk Azhar Matussin (Warisan), Razali menyuarakan keyakinan tinggi berdasarkan maklum balas yang diterima sepanjang dua tahun bekerja di lapangan.
“Potensi menang? Mestilah kita yakin. Kita turun ke lapangan, we deliver. Itu sangat penting dan rakyat tahu menilai. Saya dapat mendengar dan melihat sendiri denyutan orang kampung yang mahukan perubahan positif,” katanya.
Tambah Razali, keyakinan itu bukan sekadar sentimen kempen, tetapi hasil rekod kerja yang telah dibuktikan kepada masyarakat Darau sejak sebelum pengumuman calon lagi.
