Kota Kinabalu: Prosiding hari ke-18 inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, menampilkan keterangan teknikal penting yang mengesahkan bahawa kesan darah pada bahan bukti utama adalah milik mangsa.
Namun, beberapa persoalan masih perlu diperjelaskan termasuk analisis lanjut terhadap bahan bukti lain, tafsiran profil DNA campuran, serta hasil pemeriksaan tulisan tangan yang dijangka dijalankan antara 10 hingga 17 Oktober ini.
Sesi inkues di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini memberi tumpuan kepada keterangan saksi pakar forensik daripada Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon, 52, yang bertanggungjawab menjalankan analisis DNA terhadap pelbagai bahan bukti.
Beliau yang berpengalaman lebih 26 tahun dalam bidang forensik, memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dalam keterangannya, Nor Aidora mengesahkan penemuan kesan darah pada dua helaian kertas bukti yang dilabelkan sebagai “Y1” dan “Y8”. Hasil analisis menunjukkan bahawa kesan darah tersebut sepadan dengan profil DNA yang diperoleh daripada sampel tulang mangsa yang dilabelkan “WK37”. Beliau menjelaskan bahawa kertas Y1 dan Y8 merupakan bahan bukti saling melengkapi yang memainkan peranan penting dalam proses analisis DNA.
Saksi pakar itu turut mendedahkan penemuan profil DNA bercampur pada beberapa bahan lain seperti helaian Y8(i), buku, beg alat tulis dan selimut. Dalam profil tersebut, penyumbang utama dikenal pasti sebagai Zara Qairina, manakala penyumbang minor tidak dapat dikenal pasti secara konklusif.
Beliau menegaskan bahawa tiada DNA lelaki signifikan ditemui pada mana-mana spesimen biologi berkaitan mangsa, sekali gus menolak kehadiran bukti kukuh yang mengaitkan pihak ketiga lelaki.
Nor Aidora turut menerangkan secara terperinci mengenai prosedur pengendalian bahan bukti.
Sebanyak 37 ekshibit diterima daripada pihak polis pada 11 Ogos, manakala satu lagi ekshibit diterima pada 20 Ogos. Semua bahan disimpan dalam keadaan terkawal, dibuka dan ditutup semula dalam sampul asal serta disegel bagi memastikan tiada pencemaran atau perubahan berlaku.
Proses analisis DNA dijalankan menggunakan kaedah standard antarabangsa merangkumi ekstraksi, kuantitasi, amplifikasi dan elektroforesis.
Dalam sesi soal balas, pihak peguam menekankan bahawa hanya ekshibit Y1 dan Y8 dikemukakan untuk analisis DNA, manakala bahan lain seperti Y2 hingga Y15 akan diperiksa oleh pakar forensik dokumen bagi tujuan perbandingan tulisan tangan dalam sesi akan datang.
Mereka turut membangkitkan isu profil DNA bercampur yang tidak konklusif, yang mungkin berpunca daripada sentuhan harian atau perkongsian ruang asrama oleh pelajar lain.
Prosiding ini memberi fokus kepada aspek teknikal forensik yang menjadi tunjang penting dalam merungkai punca sebenar kematian Zara Qairina.
Bagaimanapun, siasatan masih berterusan dengan penantian terhadap hasil analisis dokumen tulisan tangan serta penjelasan lanjut berhubung profil DNA campuran dan bahan bukti lain.
