Penampang: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan cadangan kerajaan negeri untuk menawarkan pendidikan percuma kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri, iaitu University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).
Selain itu, kerajaan negeri turut berhasrat memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan, termasuk PTPTN dan Yayasan Sabah, bagi meringankan beban lebih 100,000 peminjam sedia ada.
Hajiji optimis inisiatif ini mampu dilaksanakan berdasarkan kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh.
Beliau menegaskan pendidikan dan pembangunan modal insan menjadi teras utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Sejak 2021, lebih RM1.3 bilion telah diperuntukkan untuk sektor pendidikan, jumlah terbesar dalam sejarah negeri.
Antara inisiatif termasuk bantuan one-off RM600 untuk pelajar ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan, bantuan RM300 untuk pelajar dalam negeri, serta dana biasiswa RM136 juta pada tahun 2025 melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
“Semua ini dapat dilaksanakan kerana hasil negeri meningkat ke paras tertinggi hampir RM7 bilion,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA, pada Ahad.
Hajiji turut menekankan pencapaian kerajaan GRS dalam meningkatkan peluang pekerjaan.
Statistik terkini menunjukkan kadar pengangguran berjaya diturunkan daripada 8.2 peratus pada 2020 kepada 6.2 peratus pada suku kedua 2025.
Mengulas PRN-17, beliau menyeru pengundi muda agar membuat pilihan bijak demi kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik negeri.
“Masa depan Sabah terletak di tangan anda. Inilah masanya, inilah ketikanya,” tegas beliau.
