Kota Kinabalu : Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli dalam kalangan murid selepas satu kejadian terbaharu dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di negeri ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, JPNS berkata pihak sekolah terlibat telah mengambil tindakan segera berdasarkan peraturan disiplin yang sedang berkuat kuasa, termasuk menggantung persekolahan murid terbabit.
Selain itu, murid yang dikenakan tindakan disiplin itu turut dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk tujuan intervensi bagi memastikan proses pemulihan dan kesedaran dapat dilaksanakan.
“JPNS tidak berkompromi dengan salah laku buli dan akan sentiasa memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya terpelihara,” menurut kenyataan itu.
JPNS turut menyeru semua pihak termasuk warga sekolah dan ibu bapa agar bersama-sama memainkan peranan dalam membanteras gejala buli yang boleh menjejaskan keselamatan dan suasana pembelajaran di sekolah.
Semalam dilaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Limauan, dekat Kinarut cedera ditendang senior dipercayai kerana lambat masuk ke bilik asrama.
Kejadian berlaku pada malam 7 September lalu, sebelum ibu pelajar terbabit, 42, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 9 September lalu, disusuli laporan kedua di IPD Kota Kinabalu, kelmarin.
Peguam mewakili ibu mangsa, Nurshalilah Fauzan Mailin, berkata kejadian dipercayai berunsur buli itu berlaku jam 11 malam di sekolah berkenaan.
Katanya, mangsa mendakwa ditendang pada perut, ditampar pipi dan ditumbuk hidung oleh seorang pelajar Tingkatan Empat sehingga mengakibatkan kecederaan.
“Pada malam sama, mangsa juga diminta ‘menggosok’ baju oleh seorang pelajar Tingkatan Tiga sekolah tersebut.
“Anak guam saya membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh salah seorang guru sekolah berhubung kejadian itu,” katanya.
