Kota Kinabalu: Pasukan krisis Sabah Electricity (SE) kini giat melaksanakan kerja-kerja penyambungan semula talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud selepas salah sebuah menara tumbang akibat tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkembangan itu dalam mesyuarat kecemasan yang dipengerusikannya di Sri Gaya, hari ini, berhubung gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang menjejaskan kawasan Pantai Timur Sabah semalam (13 September).
Taklimat tersebut disampaikan Ketua Pegawai Operasi SE merangkap Komander Krisis, Ir. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof yang menjelaskan kerja-kerja pemulihan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh dua hari sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri/ Pengarah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Datuk Yahya Sulaiman.
“Saya faham kerja pemulihan ini penuh cabaran dan berisiko, justeru saya mahu ia dilakukan dengan berhati-hati meskipun kita harapkan ia dapat disiapkan segera,” kata Hajiji sambil mengarahkan pihak SE untuk terus memaklumkan perkembangan kepada rakyat serta sentiasa memantau keadaan cuaca yang tidak menentu.
