Kota Kinabalu: Insiden tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang semalam menyebabkan sebuah tiang menara milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) tergelincir, sekali gus menjejaskan bekalan elektrik hampir 230,000 pengguna di Pantai Timur Sabah.
Antara kawasan yang terkesan termasuk Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan kesulitan yang sedang dihadapi rakyat.
Menurutnya, pasukan teknikal SE kini sedang bekerja 24 jam tanpa henti bagi melaksanakan usaha pemulihan segera.
“Langkah yang sedang dijalankan termasuk kerja pintasan bekalan (conductor bridging), pemasangan menara kecemasan dalam tempoh lapan hari, serta pembinaan menara kekal bagi menjamin kelangsungan bekalan,” katanya.
Hajiji dalam kenyataannya turut menyeru rakyat Sabah untuk terus bersatu hati dan berdoa agar usaha pemulihan dapat dipermudahkan, khususnya bagi mereka yang paling terkesan akibat gangguan bekalan elektrik ini.
