Kota Kinabalu: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina, Noraidah Lamat, merayu agar semua pihak menghentikan sementara perhimpunan solidariti #JusticeForZara sehingga prosiding inkues selesai dijalankan di Mahkamah Koroner.
Dalam satu hantaran di Facebook menggunakan nama akaun Noie AiDa semalam, Noraidah menyatakan rasa terharu atas doa, sokongan dan sumbangan yang diberikan orang ramai, namun bimbang sekiranya ada peserta perhimpunan yang boleh mengganggu kelancaran prosiding mahkamah.
“Terima kasih di atas doa, sokongan dan sumbangan anda semua untuk #JusticeForZara. Kehadiran & solidariti anda amat menguatkan kami sekeluarga.
“Dengan penuh rendah hati, saya mohon mana-mana penganjur untuk tangguhkan dahulu semua perhimpunan sehingga inkues selesai supaya tumpuan penuh dapat diberikan kepada proses mahkamah.
“Saya risau terdapat mana-mana peserta perhimpunan akan menggangu perjalanan inkues,” tulisnya.
Seiring dengan permintaan keluarga, pasukan peguam yang mewakili keluarga Zara juga mengeluarkan kenyataan media meminta semua pihak menghentikan sementara penganjuran perhimpunan Justice for Zara.
Menurut kenyataan itu, sebarang bentuk himpunan awam wajar dielakkan buat masa ini bagi memastikan prosiding inkues berjalan lancar dan bebas daripada sebarang tekanan luar.
“Bagi pihak keluarga, kami amat menghargai solidariti orang ramai dalam menuntut keadilan untuk Zara. Namun, keutamaan kini adalah memberi ruang penuh kepada mahkamah untuk meneliti segala keterangan saksi tanpa sebarang gangguan. Justeru, kami memohon agar semua perhimpunan ditangguhkan sehingga inkues selesai,” jelas kenyataan tersebut.
Kenyatan tersebut dikeluarkan bersama oleh pasukan peguam keluarga Zara termasuk Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser, dan Elhanan James.
Noraidah turut menyeru agar semua pihak terus menyalurkan sokongan melalui doa dan perkongsian maklumat rasmi daripada pasukan peguam, agar suara keadilan untuk Zara terus bergema tanpa menjejaskan proses mahkamah.
Sumber: Noie AiDa
