KUCHING: Sabah membangkitkan beberapa isu termasuk cadangan penambahan kerusi Parlimen untuk negeri itu dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Jumaat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mesyuarat tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan membuka ruang kepada perbincangan lanjut.
Beliau menjelaskan Sabah mahu lebih banyak kerusi Parlimen diwujudkan di negeri itu selaras dengan semangat MA63 demi melindungi kepentingan negeri dan rakyat.
“Secara prinsipnya, Perdana Menteri bersetuju, namun perkara ini perlu dibincangkan secara terperinci di peringkat teknikal kerana ia akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Sebab itu, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan sangat penting,” katanya selepas mesyuarat di Kompleks Satria Pertiwi.
Isu lain yang turut dibangkitkan ialah cadangan agar sektor pelancongan dimasukkan ke dalam senarai bersama, yang akan dibawa ke jawatankuasa teknikal untuk pertimbangan lanjut.
Delegasi Sabah diketuai Hajiji turut disertai Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ariffin Arif, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.
Sementara itu, Hajiji turut mengalu-alukan pelancaran Projek Jalan Penghubung Sabah-Sarawak Fasa 2 (SSLR 2) bernilai RM7.6 bilion hari ini yang disifatkan sebagai langkah besar dalam meningkatkan jaringan perhubungan antara dua negeri terbesar Malaysia itu.
Beliau berkata, projek berkenaan bukan sahaja penting untuk memperkukuh sambungan antara Sabah dan Sarawak, malah berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi dalam bidang perdagangan dan pelancongan.
Delegasi Sarawak pula diketuai Premier Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg.
