Kota Kinabalu: Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina menyeru agar semua bentuk perhimpunan solidariti ditangguhkan buat sementara waktu sehingga prosiding inkues selesai sepenuhnya.
Dalam satu kenyataan media hari ini, pasukan guaman menyatakan mereka berpuas hati dengan perjalanan inkues setakat ini yang telah memanggil enam orang saksi di Mahkamah Koroner.
“Kami menghargai sokongan orang ramai melalui perhimpunan aman Justice For Zara dan sumbangan dana yang membantu menampung kos perlantikan pakar-pakar dalam pelbagai bidang. Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Bagaimanapun, pasukan peguam menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan segelintir individu yang ditahan dan didakwa di mahkamah berhubung ucapan ketika perhimpunan serta komen di media sosial berkaitan gelombang Justice For Zara.
“Kami dan anak guam kami tidak mahu slogan atau nama Zara dicemari oleh tindakan pihak tidak bertanggungjawab,” tegas mereka.
Sehubungan itu, mereka berpandangan bahawa semua pihak wajar lebih berhati-hati ketika memberi komen atau kritikan di media sosial berkaitan prosiding inkues.
“Ini penting bagi mengelakkan risiko sub judice dan gangguan terhadap perjalanan prosiding inkues,” menurut kenyataan itu lagi.
Pasukan guaman turut menekankan bahawa himpunan solidariti boleh diteruskan selepas prosiding selesai sepenuhnya.
“Buat masa ini, marilah kita memberi ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugasnya. Dengan kesabaran dan kepercayaan kepada proses kehakiman, kebenaran akan terserlah dan keadilan akan dicapai.” tegas mereka.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh tujuh orang peguam termasuk Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser, dan Elhanan James.
