Penampang: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Serapung Kolopis, Penampang, semalam, ditemui meninggal dunia pagi ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada 11 September lalu sekitar jam 6.55 petang daripada Balai Bomba Penampang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.
“Hasil operasi SAR, mayat mangsa ditemui pada 12 September 2025 lebih kurang jam 10.40 pagi di lokasi kejadian.
“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang awam agar tidak menularkan sebarang imej atau video berkaitan lokasi kejadian di media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
“Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan, khususnya apabila berada di kawasan berisiko tanah runtuh atau semasa cuaca buruk, bagi mengelakkan tragedi tidak diingini berlaku,” tambah beliau.
