Kota Kinabalu: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, memasuki hari ketujuh hari ini di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dengan sambungan keterangan saksi keenam, iaitu pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar.
Saksi, Linah Mansoding dalam keterangannya berkata, beliau ada mendengar cerita daripada pelajar lain bahawa sehari sebelum kejadian, arwah Zara pernah dituduh mencuri oleh seorang pelajar senior.
“Selepas kejadian, memang ada dengar budak-budak cakap disebutnya Zara ni dituduh mencuri oleh A. Duit dia hilang dan sebelum kejadian malam itu, 15hb dalam jam 8 lebih … jumpa A di jemuran kain dia ckp ‘anti dompet sya hilang tadi pagi dlm beg’ RM300 hilang dan dia tidak ckp siapa dia tuduh.
“Selepas kejadian baru dia dengar ustaz Rizani suruh cari ketua dorm Zara. So E (pelajar Tingkatan 4) ketua dorm Zara,” katanya ketika menjawab soalan peguam pasukan keluarga Zara diwakili Shahlan Jufri semasa prosiding.
Katanya, kebiasaan di sekolah itu, pelajar Tingkatan Empat ditugaskan menjaga pelajar junior Tingkatan Satu, termasuk dorm di aras tiga.
“Kalau pelajar Tingkatan Satu ada masalah, mereka akan mengadu kepada pelajar Tingkatan Empat yang jaga dorm. Jadi bila Zara dituduh mencuri, mungkin mereka (senior) panggil dan tanya,” jelasnya lagi.
Namun, beliau menegaskan tidak mengetahui sebarang tindakan lanjut diambil berhubung tuduhan tersebut.
Inkues hari ketujuh ini diteruskan dengan meneliti keterangan saksi keenam, yang turut mengesahkan beliau pernah mengenali arwah Zara semasa bertugas, namun hanya pernah berinteraksi sekali sebelum kejadian.
