Penampang: Polis berjaya menumpaskan kumpulan curi motosikal dikenali sebagai Kumpulan Awen selepas menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 42 tahun, dengan rampasan enam buah motosikal pelbagai jenis bernilai kira-kira RM40,000.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, operasi yang dijalankan pada 18 Ogos lalu membongkar kegiatan kumpulan itu yang aktif mencuri motosikal di sekitar daerah Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu.
Beliau berkata, tangkapan pertama melibatkan lima suspek termasuk ketua kumpulan berusia 22 tahun sebelum membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki yang bertindak sebagai pembeli motosikal curi di Kota Marudu.
“Polis berjaya menyelesaikan enam kes curi motosikal selepas tertangkapnya lapan individu ini. Saringan air kencing turut mendapati empat suspek positif methamphetamine,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Antara motosikal yang dirampas ialah dua buah Yamaha Y15Z, tiga buah Yamaha 135LC dan satu Yamaha 125Z.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Supt Sammy turut menegaskan bahawa PDRM sentiasa komited membanteras kegiatan jenayah dan menggesa orang ramai menjadi mata dan telinga polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.
