Papar: Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, memasuki hari keenam hari ini dengan pelaksanaan sesi locus in quo di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar.
Kenderaan membawa Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan, tiba di kawasan sekolah pada jam 9.15 pagi, diiringi pasukan peguam, pemerhati serta pakar patologi, Dr Jessie Hiu, yang sebelum ini menjalankan bedah siasat terhadap arwah.
Sesi luar mahkamah itu dijadual bermula jam 9.30 pagi bagi meninjau lokasi sebenar kejadian sebelum prosiding disambung semula di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 2 petang.
Lebih awal, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah tiba di lokasi sekitar jam 7.30 pagi.
Seterusnya diikuti pasukan Pendakwa Raya diketuai Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad bersama beberapa Timbalan Pendakwa Raya lain yang tiba kira-kira jam 8.30 pagi.
Sesi locus in quo ini diadakan bagi memberikan gambaran lebih jelas kepada pihak mahkamah tentang situasi dan kedudukan sebenar lokasi arwah ditemui, sekali gus menjadi sebahagian daripada proses penting dalam mencari kebenaran berhubung punca kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Prosiding inkues Zara Qairina bermula 3 September lalu dan dijadual berlangsung selama 17 hari.
Setakat ini, mahkamah telah mendengar keterangan beberapa saksi termasuk pakar patologi forensik, pegawai penyiasat, pemeriksa dokumen Jabatan Kimia, serta doktor pakar neurosurgeri dari Hospital Queen Elizabeth dan pengawal keselamatan sekolah berkenaan.
Inkues ini dijalankan bagi membantu mahkamah menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina yang ditemui tidak sedarkan diri di kawasan blok asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
