KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah memutuskan untuk membuka lebih banyak operasi dan aktiviti mulai esok (20 September 2021).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, 10 jenis operasi dan aktiviti berkenaan akan hanya dibenarkan bermula pada hari Isnin yakni apabila SOP PPN Fasa 2 Sabah telah dikemaskini dan diwartakan.
Aktiviti sukan dan rekriasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekriasi terbuka (outdoor) dan tertutup (indoor) dibenarkan kepada individu telah lengkap divaksin.
Beliau berkata aktiviti hiking dibenarkan kepada individu telah lengkap divaksin yang dilakukan secara individu atau berkumpulan yang mematuhi 50% kapasiti kawasan atau tidak melebihi 30 orang.
“Aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara individu atau berkumpulan di gimnasium atau pusat kecergasan yang sama dengan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 30 orang (mana-mana lebih rendah) adalah dibenarkan dengan syarat jurulatih dan peserta telah lengkap divaksin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Selain itu, Pusat Latihan Maritim dan Pusat Latihan Penerbangan (udara) dan darat juga dibenarkan beroperasi dengan syarat telah lengkap divaksin.
“Aktiviti kolam memancing dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 6 petang dalam daerah yang sama dengan syarat pekerja dan pelanggan telah lengkap divaksin dengan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 30 orang (mana-mana lebih rendah).
“Aktiviti kapal persiaran domestik di dalam perairan negeri Sabah dibenarkan dengan 50 peratus kapasiti dengan syarat semua anak kapal atau pekerja dan penumpang telah lengkap divaksin. Bagaimanapun aktiviti kelab malam dan pub tidak dibenarkan,” katanya.
Masidi berkata, mesyuarat secara bersemuka dibenarkan kepada individu yang telah lengkap divaksin dengan 50 peratus kapasiti bilik mesyuarat.
Menurutnya, semua pejabat swasta dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja adalah mengikut peratusan pekerja yang telah divaksin.
“Operasi kilang dan kedai minuman keras dibenarkan dengan syarat pekerja telah lengkap divaksin. Bagaimanapun kelab malam, pub dan pusat karaoke tidak dibenarkan.
“Semua IPT di bawah kawal selia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dibuka secara berperingkat kepada pelajar yang telah lengkap vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas lengkap vaksinasi, namun kemasukan sebenar adalah tertakluk kepada kapasiti IPT,” katanya.
Sumber: UB