Kota Kinabalu: Prosiding Inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner di sini mendengar keterangan saksi kedua, Nurul Atiqah Mohd Noh, 44 tahun, seorang Pemeriksa Dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia.
Dalam keterangannya pagi tadi, saksi memaklumkan bahawa beliau menerima 20 beg barang kes Polis Diraja Malaysia bertarikh 20 Ogos lalu, yang mengandungi pelbagai spesimen tulisan tangan dipertikai berkaitan kes kematian Zara.
Semua barang kes itu disimpan secara terkawal sebelum diperiksa di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Petaling Jaya.
Nurul Atiqah menjelaskan, beliau menggunakan kanta pembesar dan peralatan saintifik Video Spectral Comparator untuk meneliti dan membandingkan tulisan tangan yang dipertikaikan dengan contoh tulisan tangan milik Zara Qairina.
Hasil pemeriksaan terhadap helaian kertas serta buku catatan mendapati majoriti tulisan tangan adalah milik Zara, termasuk pada dokumen bertanda “Y1” hingga “Y7”, “Y9” hingga “Y15”, serta buku “Notes” (W1), “Simple Style Book” (W2), dan sebahagian besar buku “Diamonds” (W3).
“Setelah perbandingan dilakukan, saya mendapati tulisan tangan yang dipertikaikan pada “Y1” hingga “Y7” dan “Y9” hingga “Y15” menunjukkan persamaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan dengan contoh tulisan tangan “SA”. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini ditulis oleh penulis contoh (Zara),” katanya.
Namun katanya, saksi turut mengesahkan bahawa sebahagian muka surat dalam buku “Diamonds” (W3), khususnya pada muka surat 2, 7–14, 25–37, 46, 58–64 dan 73–89, menunjukkan perbezaan signifikan berbanding tulisan tangan Zara.
“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada “W3” pada muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89 menunjukkan perbezaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan daripada contoh tulisan tangan “SA”.
“Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini tidak ditulis ditulis oleh penulis contoh,” jelasnya.
Malah, pada muka surat pertama buku yang sama, pemeriksaan mendapati terdapat campuran tulisan tangan Zara dan seorang individu lain.
“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada “W3” pada muka surat 1 adalah campuran tulisan tangan penulis contoh dan seorang yang lain,” katanya lagi.
Selepas selesai analisis, semua ekshibit dimeterai semula dan diserahkan kembali kepada pihak polis pada 2 September lalu bersama laporan rasmi Jabatan Kimia Malaysia.
