Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak berkongsi sebarang bahan bukti sepanjang prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan menegaskan, amaran itu dikeluarkan kerana tindakan penyebaran bahan bukti diklasifikasikan sebagai satu bentuk penghinaan kepada mahkamah.
Tambahnya lagi, peringatan itu susulan penularan gambar tulisan tangan yang dikaitkan dengan kes berkenaan di media sosial selepas keterangan saksi kedua didengar di sini hari ini.
Saksi kedua berkenaan ialah, Nurul Atiqah Mohd Noh, 44 tahun dari Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, memberi keterangan mengenai bahan bukti tulisan yang diperiksa.
Koroner Amir Shah turut menegaskan agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan bahan bukti tersebut di platform awam.
