Kota Kinabalu: Seorang remaja lelaki tempatan ditahan orang awam selepas melakukan samun bersenjata di sebuah farmasi di Jalan Gaya, di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.41 petang apabila suspek masuk ke dalam premis berkenaan sambil mengacukan pisau ke arah pekerja farmasi dan mengarahkan mangsa membuka mesin wang tunai.
“Mangsa, seorang pekerja wanita farmasi berusia lingkungan 20-an, cuba melawan dan merampas senjata yang dipegang suspek, namun mengalami kecederaan di tapak tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurut beliau, tindakan pantas orang awam yang berada di lokasi berjaya menahan suspek sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ujian saringan awal air kencing mendapati remaja terbabit negatif dadah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata sehingga menyebabkan kecederaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
ACP Kasim turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menahan suspek serta mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak polis.
