Keningau: Seorang wanita berusia 45 tahun berjaya diselamatkan anggota bomba selepas kediamannya dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Tuntumulud, Bingkor, di sini pada petang kelmarin.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 7.15 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dengan lapan anggota bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba pada jam 7.36 malam, pasukan mendapati beberapa kawasan perumahan dinaiki air.
“Seorang mangsa wanita berusia 45 tahun berjaya dipindahkan dengan selamat ke rumah keluarganya yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi diketuai PBK I Ranizan Samirin dengan kekuatan lapan anggota serta dua aset iaitu Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Katanya, selepas pemindahan mangsa, pasukan bomba meneruskan pemantauan di kawasan berkenaan berikutan paras air semakin surut.
Tiada mangsa lain dilaporkan terjejas dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.59 malam.
