KOTA KINABALU: Dalam tempoh singkat hanya tiga tahun sejak penubuhannya, Pergerakan Beliawanis yang merupakan sayap bongsu Parti Gagasan Rakyat Sabah berjaya mencatatkan keahlian seramai 82,836 orang sekali gus membuktikan kematangan prestasi sayap termuda parti itu dalam mendekati golongan wanita muda di seluruh negeri ini.
Ketuanya, Emmie Datuk Martin Idang berkata, bahawa pencapaian tersebut adalah hasil usaha berterusan seluruh jentera Beliawanis di semua peringkat sejak 2023.
Menurut Emmie, keahlian sebanyak 82,388 ahli yang berdaftar merangkumi 74 bahagian dan 7,599 cawangan di seluruh Sabah.
“Mungkin kita masih muda dari sudut usia dan pengalaman, tetapi hari ini kita telah membuktikan bahawa kita sudah matang dari segi prestasi dan pencapaian,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Agung Tahunan Beliawanis Gagasan Rakyat Sabtu lalu.
Beliau turut menyatakan rasa bangganya terhadap komitmen dan kefahaman ahli di akar umbi yang semakin jelas dengan hala tuju dan perjuangan Beliawanis melalui gelombang ‘GEMA’, iaitu simbol semangat dan identiti gerakan wanita muda dalam parti tersebut.
Katanya lagi, sepanjang tiga tahun ini, pelbagai program dan inisiatif telah dijalankan, semuanya bertujuan untuk menyantuni dan mendekati kumpulan sasar, khususnya wanita muda di Sabah.
Emmie menyeru agar semangat ini diteruskan dan diperkasakan lagi bagi menghadapi cabaran politik semasa dan menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang dengan keyakinan bahawa Beliawanis kini menjadi aset penting dalam memacu kekuatan parti.
Dalam pada itu, Emmie berkata, segala program dan aktiviti Beliawanis adalah berpaksikan kepada tiga teras utama yang menjadi tunjang gerak kerja sayap tersebut termasuklah, menambah keahlian baharu di peringkat bahagian dan cawangan bagi memperkukuh struktur organisasi dari akar umbi.
“Seterusnya, mendekati golongan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, khususnya pengundi muda yang dianggap aset masa depan negara dan parti serta melaksanakan program pembangunan kapasiti yang merangkumi aspek kepimpinan, keusahawanan serta pembinaan jati diri dan keterampilan wanita muda.
Emmie menegaskan bahawa ketiga-tiga teras ini merupakan strategi menyeluruh yang bukan sahaja memperkukuh keahlian, tetapi juga melahirkan generasi pelapis yang berkebolehan untuk memimpin, menyumbang dan menjadi ejen perubahan dalam masyarakat.
Beliau turut menekankan pendekatan strategik dalam mendekati mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi sebagai satu langkah penting untuk memupuk kefahaman politik yang matang serta menawarkan ruang dan suara kepada golongan muda.
“Generasi mahasiswa hari ini bukan hanya pewaris, tetapi juga pemacu masa depan. Beliawanis mesti tampil relevan dan proaktif dengan mesej yang segar dan pendekatan yang inklusif,” ujarnya.
