KOTA KINABALU: Dua lelaki dilaporkan mengalami sesak nafas selepas terperangkap dalam lif dalam kejadian kebakaran di bangunan The Shore, Kota Kinabalu awal pagi tadi.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pusat Gerakan Operasi Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi MERS999 pada jam 1.57 pagi.
Susulan itu sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi pada jam 2.10 pagi, dengan jarak perjalanan sejauh 12 kilometer.
Komander Operasi, PBK II Martha Padis memaklumkan kebakaran melibatkan barang-barang pembinaan di tingkat lima kawasan tempat letak kereta bangunan tersebut dengan anggaran keluasan terbakar sekitar 20 peratus daripada keseluruhan kawasan berukuran 100×20 kaki.
Dalam operasi menyelamat, dua lelaki yang terperangkap dalam lif berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diberi rawatan awal oleh Pasukan EMRS selepas mengalami sesak nafas.
Operasi pemadaman menggunakan satu aliran Sistem Salur Bantu Mula (hose reel) di dalam bangunan, dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.25 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.33 pagi.
Operasi melibatkan kekuatan seramai 19 anggota bomba dari BBP Kota Kinabalu (2 anggota), BBP Putatan (5 anggota), dan BBP Penampang (8 anggota).
Agensi lain yang turut membantu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kehadiran tujuh anggota.
