TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki mengugut dan cuba menikam sepupunya menggunakan sebilah gunting dalam satu kejadian di sebuah rumah di Batu 3, Jalan Apas, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.00 petang ketika mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun, berada di kediaman keluarganya sebelum tercetus pertengkaran melibatkan telefon bimbit milik adik suspek.
“Suspek dikatakan tidak berpuas hati dan bertindak agresif dengan mengambil sebilah gunting dari dapur sebelum mengacukannya serta cuba menikam mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Bertindak atas laporan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan suspek kira-kira jam 4.45 petang semalam di sebuah rumah di kawasan perkampungan Batu 3, Jalan Apas.
Polis turut merampas sebilah gunting yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an kini ditahan bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
