DAP dengan rasa tidak malu menghulurkan perdamaian terhadap kerajaan baharu yang bakal dibentuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sedangkan sebelum ini parti itu juga memainkan peranan menolak tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sama-sama memulihkan negara.
Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri telah berusaha menyatukan rakyat untuk memerangi pandemik Covid-19, tetapi blok pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) menjadikannya isu politik dan menolak mentah-mentah cadangan kerjasama bipartisan dikemukakan.
PH dan sekutu mereka – Blok 15 UMNO – menganggap cadangan kerjasama oleh Muhyiddin semata-mata untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan jawatan Perdana Menteri.
Sedangkan jika dilihat kepada tujuh syor yang dikemukakan itu semuanya menjurus kepada memerangi pandemik Covid-19 dan usaha memulihkan ekonomi negara serta rakyat.
Agihan bantuan tambahan yang ditawarkan kepada Ahli Parlimen sebanyak RM300,000, dianggap ‘sogokan’, sedangkan Muhyiddin telah menyatakan bahawa ianya bertujuan membeli bakul makanan untuk diagihkan kepada rakyat yang memerlukan.
Untuk rakyat bukan untuk diri Ahli Parlimen sendiri.
Apa yang ditawarkan Muhyiddin itu, semuanya untuk rakyat, tetapi blok pembangkang dan Blok 15 menjadikannya isu politik, kononnya Muhyiddin mahu menyelamatkan jawatannya.
Sekiranya Muhyiddin mahu menyelamatkan jawatannya, banyak lagi cara yang boleh dilakukan tak kira bersih atau kotor, seperti dilakukan pembangkang dan Blok 15 yang lebih kotor mainannya.
Tetapi sekarang, setelah gagal mengangkat ‘boneka’ mereka menjadi Perdana Menteri, DAP menghulurkan perdamaian dengan harapan Ismail Sabri akan membentuk kerajaan perpaduan.
Lagipun, Ismail Sabri pernah mengingatkan bahawa DAP tidak layak untuk bercakap mengenai perpaduan kerana parti itu sendiri mengamalkan perkauman.
Tidak perlu DAP menunjuk pandai mengingatkan tanggungjawab seseorang Perdana Menteri kepada negara dan rakyat, kerana semua rakyat tahu tugas yang perlu digalas melibatkan semua kaum tanpa mengira agama dan latar belakang.
Kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mengingatkan Ismail Sabri mengenai tanggungjawab itu hanyalah sandiwara setelah gagal meletakkan ‘boneka’ mereka.
Sama juga dengan perdamaian yang dihulurkan kepada Ismail Sabri hanyalah ‘permainan’ parti itu dan rakan-rakan mereka dalam PH.
“Tugas utama Ismail adalah menyatukan semua rakyat untuk memperbaiki kegagalan dan kesilapan dalam memerangi Covid-19 yang telah menyebabkan 13,713 kematian dan 1,513,025 jangkitan,” kata Guan Eng yang masih tidak dapat menerima hakikat bahawa belum ada lagi negara lain di dunia, hatta negara maju sekali pun, yang berjaya mengawal wabak itu.
Keputusan siapa Perdana Menteri Ke-9 Malaysia telah diketahui. Elok lah DAP memikirkan siapa yang perlu diketengahkan untuk diangkat sebagai ketua pembangkang yang baharu setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim tiga kali gagal menjadi Perdana Menteri.
Mungkin, DAP yang mempunyai majoriti di dalam PH, memikirkan untuk mempergunakan pula Mat Sabu sebagai ketua pembangkang.
Mungkin Presiden AMANAH itu akan lebih berjaya daripada Anwar. Belum cuba belum tahu. Apa yang lekehnya Mat Sabu jika dibandingkan dengan Anwar.
Sumber : Agenda Daily