
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said akan mewakili kerajaan Malaysia ke Istiadat Pengebumian Paus Francis.
Isitadat Pengebumian Pope Francis itu akan diadakan di Vatican City pada esok (26 April).
Istiadat Pengebumian Negara berkenaan termasuk Misa pengebumian di St. Peter’s Square, Vatican City yang akan dipimpin oleh Giovanni Battista Re, Ketua Kolej Kardinal.
Setelah itu, satu istiadat perarakan akan diadakan bagi mengiringi jenazah Paus Francis ke Basilika Santa Maria Maggiore, di mana beliau akan disemadikan dalam satu upacara tertutup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian
Paus Francis pada 21 April lalu.
Dalam perutusan beliau, Anwar memperingati sumbangan besar kepada usaha dialog antara agama, pengurusan alam sekitar serta perlindungan hak bagi golongan dimarginalisasi.
Manakala pada 23 April lalu, Ewon juga telah menandatangani Buku Takziah di Kedutaan Besar Holy See di Kuala Lumpur bagi pihak Kerajaan Malaysia.