
TAWAU: Seorang lelaki diberkas polis ketika cuba meloloskan diri dalam satu serbuan di kawasan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Tawau, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek warga asing berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau yang menjalankan operasi berdasarkan maklumat risikan yang diterima.
Menurutnya, tindakan pantas pasukan serbuan berjaya menahan suspek yang cuba melarikan diri dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui dua kotak plastik lutsinar di dalam beg pinggang suspek, masing-masing mengandungi 74 paket plastik kecil berlainan saiz berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 52.43 gram, dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,550,” katanya.
Tambah beliau, suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.
Tambah beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah dan semakan rekod jenayah lampau juga menunjukkan suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan terdahulu.
“Suspek juga mengaku mendapat bekalan dadah daripada seorang rakan yang juga dipercayai berada di kawasan yang sama,” jelas ACP Jasmin.
Suspek akan direman bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut, manakala usaha mengesan individu lain yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah tersebut sedang giat dijalankan.
Pihak polis menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah demi memastikan keselamatan dan keharmonian komuniti setempat terus terpelihara.