
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mengugut untuk mencederakan ibunya menggunakan sebilah parang dalam kejadian di kediaman mereka di Jalan Chester, Tawau pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.10 malam apabila suspek bertindak agresif selepas permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dilayan oleh ibunya.
“Suspek telah mengugut untuk memukul ibunya menggunakan parang. Tindakan agresif ini bukan kali pertama berlaku dan turut menyebabkan kerosakan terhadap harta benda jiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.
Menurutnya, berikutan laporan yang diterima daripada adik suspek, kira-kira jam 12.06 tengah malam, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan suspek kira-kira jam 2.00 pagi di kaki lima sebuah bangunan di sekitar bandar Tawau.
Katanya, suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“PDRM menyeru orang ramai agar tidak berdiam diri sekiranya berlaku ancaman atau keganasan dikalangan keluarga. Laporkan segera kepada pihak polis agar tindakan awal dapat diambil demi keselamatan semua pihak,” tambah beliau.