
TAWAU: Dua lelaki ditahan selepas didapati mencuri kabel elektrik di salah sebuah bangunan milik Sabah Softwood, Kampung Pasir Putih, Tawau pada malam Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.00 malam itu, anggota pengawal keselamatan bersama tiga rakannya berjaya menahan dua lelaki yang mencurigakan dengan membawa sebuah guni berisi kabel dipercayai dicuri dari bangunan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bertindak pantas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat kira-kira jam 10.20 malam.
“Sebaik tiba di pondok pengawal, pihak Polis menerima kedua-dua suspek yang diserahkan oleh anggota keselamatan berkenaan bersama barang rampasan.
“Salah seorang suspek warga tempatan berusia 41 tahun memiliki enam rekod berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah, manakala seorang lagi adalah warga asing berusia 28 tahun memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya pihak Polis turut merampas satu gulung kabel elektrik, mata gergaji besi yang diubahsuai, sebatang test pen dan sebatang pemotong (cutter) yang digunakan untuk membawa kabel curi tersebut.
“Anggaran kerugian akibat kecurian kabel ini adalah sekitar RM500 dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.