
TAWAU: Seorang lelaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya ditangkap orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis dipercayai cuba merogol seorang kanak-kanak di sekitar bandar ini.
Polis Tawau dalam satu kenyataan berkata, bertindak berdasarkan aduan awam, sepasukan polis peronda dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Tawau telah menahan suspek yang berusia 31 tahun.
“Semasa melaksanakan tugas rondaan cegah jenayah disekitar bandar Tawau, pihak polis telah menerima satu aduan awam mengatakan bahawa terdapat seorang lelaki telah ditangkap oleh orang awam kerana berkelakuan tidak senonoh dan mencurigakan.
“Setibanya dilokasi, suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati, suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk tinggal di negara ini dan pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek juga tidak menjumpai apa-apa barang salah,” katanya di sini, hari ini.
Suspek kemudiannya dibawa balik ke IPD Tawau untuk ditahan reman.
Kes disiasat dibawah seksyen 15(a)(2) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak.