
TAWAU: Seorang lelaki ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berdasarkan satu laporan polis yang diterima berkaitan dengan kes rogol.
Polis Tawau dalam satu kenyataan berkata, kejadian disedari apabila mangsa memberitahu sepupunya yang pada ketika itu berada di daerah Tawau menerusi panggilan telefon mengatakan bahawa dirinya telah dirogol oleh bapa tirinya di kediaman mereka di Semporna.
“Mendengar kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sri Indah berhubung kejadian tersebut.
“Sepupu mangsa turut menasihati mangsa agar membuat laporan polis di Balai Polis berdekatan untuk tujuan keselamatan diri.
“Berikutan aduan yang diterima, satu tangkapan telah dibuat dan dibawa ke Balai Polis Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya.
Suspek kemudiannya diserahkan ke IPD Tawau untuk ditahan reman.
Kes akan disiasat dibawah seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan seksyen 506 Kanun Keseksaan.