
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu sedang mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan sejak 28 Mac lalu.
Polis Kota Kinabalu dalam satu kenyataan memaklumkan remaja perempuan yang hilang itu bernama Siti Nurshafiqah Rahim dan berusia 17 tahun.
“Bangsa mangsa adalah Bugis dan alamat terakhir berada di Kampung Tebobon Menggatal.
“Ciri-ciri fizikal mangsa mempunyai susuk badan yang kurus, warna kulit kuning langsat, mata warna hitam, warna rambut hitam paras bahu, bulu kening nipis dan bibir nipis,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, pada 28 Mac 2025, sekitar jam 6.06 petang, pengadu dimaklumkan oleh suaminya bahawa anak perempuan mereka tidak pulang ke rumah.
“Pengadu cuba mencarinya di sekitar kampung tetapi tidak berjaya.
“Pada 29 Mac 2025, individu yang hilang ada menghubungi ahli keluarga dan memaklumkan akan pulang, namun sehingga kini masih belum kembali,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu diminta untuk menghubungi pihak polis di talian 088-529222 (IPD Kota Kinabalu) atau 013-8867917 (Insp. Mohd Shahrul Tarmizi Shaffiee).