
PENAMPANG: Tiga lelaki telah ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Kota Kinabalu – Penampang, berhadapan SMK Bahang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kesemua individu tersebut ditahan di bawah Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang telah ditetapkan
“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama 2 Tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Superintendan Sammy turut menyatakan ketika Op Mabuk dijalankan, pihak polis telah mengeluarkan tujuh keping saman atas pelbagai kesalahan dan enam daripadanya tidak memiliki lesen memandu.
Operasi kali ini diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad dan dibantu seramai 10 anggota Polis.
Seramai 96 individu dan sebanyak 82 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi.
Operasi ini juga antara lainnya, bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya agar sentiasa patuh kepada undang-undang dan peraturan lalulintas yang telah ditetapkan.