
PENAMPANG: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menahan dua lelaki dalam dua operasi berasingan di Daerah Penampang kelmarin (22 Mac) yang membawa kepada rampasan dadah dianggarkan bernilai RM3,340.00.
Polis Penampang dalam kenyataan berkata, tangkapan pertama, seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine (syabu) seberat 5.45 gram dengan nilai anggaran RM790.00.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Manakala tangkapan kedua, seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun didapati memiliki satu paket plastik hitam berisi ketulan hablur jernih disyaki Methamphetamine seberat 17.00 gram dengan nilai pasaran RM2,550.00.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun serta sebatan tidak kurang daripada tiga kali jika disabitkan kesalahan,” katannya di sini, hari ini.
Suspek pertama juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti penyalahgunaan dadah agar segera melaporkannya kepada balai polis berhampiran.