
TAWAU: Polis dari Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, IPD Tawau berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki memiliki rekod individu yang dikehendaki berkaitan kes tipu di daerah Durian Tunggal, Melaka Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota MPV ketika menjalankan tugas Snap Check di kawasan Batu, 5 Jalan Apas, Tawau kira-kira jam 2.34 pagi selepas tingkah lakunya mencurigakan.
“Hasil semakan rekod dengan menggunakan alat MCARD (Mobile Card Reader) mendapati lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah lampau dan disenaraikan sebagai individu dikehendaki berkaitan kes tipu di daerah Durian Tunggal, Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada pengawai penyiasat kes tersebut.
ACP Jasmin turut memuji keberanian dan kecekapan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dalam melaksanakan tugas mereka.
Beliau menyeru orang ramai untuk terus memberikan kerjasama dengan pihak polis dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan.