
TAWAU: Seorang lagi lelaki berumur lingkungan 21 tahun telah berjaya ditangkap oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau bagi membantu siasatan berhubung satu insiden pergaduhan yang berlaku di Kompleks Sukan Tawau, Isnin lalu.
Polis Tawau dalam satu kenyataan berkata, suspek yang bekerja sebagai tukang masak telah ditahan dan diberkas atas risikan maklumat awal dari penangkapan suspek sebelum ini.
“Hasil soal siasat, dengan dipandu arah oleh suspek, serbuan ke atas rumah tidak bernombor telah dijumpai sebuah helmet yang disyaki digunakan dalam insiden pergaduhan tersebut.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya di sini, hari ini.
Kes juga disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata atau alat berbahaya, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan.