
KENINGAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Kilometer 14.3 dan Kilometer 11.2 Jalan Kimanis – Keningau di sini pada petang Khamis.
Beliau turut diberi taklimat oleh Pengarah Kerja Raya Sabah, Datuk Philemon Lajawai berkaitan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan cerun runtuh yang dilakukan di kawasan berkenaan.
Ketua Menteri melakukan tinjauan itu ketika dalam perjalanan ke Keningau untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Kim Teck Cheong Consolidation Berhad kali kedua Tahun 2025 di Kompleks Sukan Keningau.
Pada masa ini kerja pembersihan jalan dan pembaikan cerun runtuh lokasi berkenaan kini hampir siap sepenuhnya dan difahamkan laluan itu akan dibuka dalam masa terdekat ini bagaimanapun ia tertakluk kepada keadaan cuaca semasa.
Untuk rekod, Jalan Keningau-Kimanis di Kilometer 11.2 ditutup sepenuhnya sejak 8 Mac lalu manakala laluan di Kilometer 14.3 telah ditutup sejak 4 Mac selepas runtuhan cerun menyebabkan kalan tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.