
KOTA KINABALU: Priscella, 27 tahun, anak Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony ambil alih kepimpinan parti sejak Peter memulakan hukuman penjara tiga tahun pada Selasa lalu.
Parti itu memaklumkan, Priscella yang merupakan salah seorang pengasas bersama KDM dan timbalan presiden parti, akan dibantu oleh seorang lagi timbalan presiden, iaitu Datuk Wetrom Bahanda.
Setiausaha Agung KDM, Willie Jude berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara semasa mesyuarat majlis tertinggi hari ini di ibu pejabat parti itu di Penampang, semalam.
“Keputusan itu dibuat dengan persetujuan penuh daripada semua ahli. Kami telah mengambil langkah untuk bersiap sedia untuk sebarang perkembangan termasuk perkara berkaitan kes presiden.
“Wetrom menyokong penuh keputusan ini. Malah, dia yang mengusulkannya.
“Kita masing-masing mempunyai peranan dalam parti, dan saya yakin dengan ikatan kita, seperti sebuah keluarga, kita boleh menghadapi semua cabaran di hadapan,” katanya pada Jumaat.
Willie berkata, mesyuarat itu juga bersetuju bahawa KDM akan kekal teguh dalam pendiriannya untuk bertanding pada pilihan raya negeri akan datang, yang mesti diadakan sebelum akhir tahun, tanpa rakan kongsi luar.
Beliau berkata semua perancangan parti termasuk yang dibuat oleh Peter akan dilaksanakan.
Memandangkan kesalahan itu dilakukan di Putrajaya, presiden KDM akan kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melainkan beliau mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Perkara 17(1)(e) perlembagaan Sabah menyatakan ADUN yang dijatuhkan hukuman penjara setahun atau lebih atau denda RM2,000 atau lebih akan kehilangan kerusi.
Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dalam kes yang dikaitkan dengan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) 11 tahun lalu.
Peter kini akan menjalani hukuman penjara tiga tahun di Penjara Kajang dan didenda RM50,000.
Sumber: FMT