KOTA KINABALU: Keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk memohon menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti komponen disifatkan sebagai petanda bahawa politik Sabah semakin matang dan bergerak ke arah penyatuan demi kepentingan rakyat serta masa depan negeri.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Azrul Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan hasrat UPKO itu yang dilihat mampu memperkukuhkan lagi kesatuan politik tempatan serta memperkasakan kestabilan politik yang menjadi asas kepada pembangunan negeri.
Menurut beliau, GRS telah membuktikan bahawa kestabilan politik merupakan faktor penting dalam memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kita mengalu-alukan keputusan UPKO untuk memohon menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti komponen. Langkah ini merupakan perkembangan positif ke arah memperkukuh lagi kesatuan politik tempatan demi masa depan negeri yang lebih stabil dan kuat,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, semalam.
Azrul berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Sabah telah mencatat pelbagai kemajuan melalui pelaksanaan agenda pembangunan, kemasukan pelaburan, penyelesaian isu-isu asas rakyat serta usaha berterusan memperjuangkan hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, pencapaian tersebut tidak dapat dipisahkan daripada kestabilan politik yang membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyifatkan keputusan UPKO sebagai petunjuk bahawa semakin banyak pihak menyedari keperluan untuk parti-parti tempatan berganding bahu dalam satu kerangka yang lebih kukuh dan berpaksikan kepentingan Sabah.
“Keputusan UPKO juga menunjukkan semakin banyak pihak melihat keperluan untuk parti-parti tempatan bersatu dalam satu kerangka yang lebih kukuh, matang dan berpaksikan kepentingan Sabah,” katanya.
Menurut Azrul, politik Sabah perlu terus bergerak ke arah kerjasama dan penyatuan berbanding perpecahan yang hanya akan merugikan rakyat serta menghambat usaha pembangunan negeri.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar meletakkan kepentingan Sabah mengatasi perbezaan politik dengan mengutamakan kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita mahu melihat politik Sabah terus bergerak ke arah kerjasama dan penyatuan, bukan perpecahan yang akhirnya merugikan rakyat dan melambatkan pembangunan negeri. Masa depan Sabah akan menjadi lebih kuat apabila parti-parti tempatan bersatu suara dan tenaga demi rakyat negeri ini,” katanya.
Terdahulu, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick telah mengetuai delegasi parti itu menyerahkan borang permohonan penyertaan kepada Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di sini, semalam.
