Gambar Hiasan
KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan bahawa analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga hujung bulan ini (31 Januari 2025).
Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sarawak dan Sabah.
“Sehubungan itu, MET Malaysia telah mengemaskini Amaran Hujan Berterusan (Bahaya, Buruk dan Waspada) melibatkan Sarawak dan Sabah berkuat kuasa sehingga 31 Januari 2025.
“Manakala, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 30 Januari 2025,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Orang awam turut dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
