KOTA KINABALU: Analisa data menunjukkan peratusan kes bergejala tanpa diketahui dari mana punca atau apa yang dipanggil kes-kes sporadik semakin meningkat di negeri ini, dengan catatan semalam sebanyak 251 kes dan atau menghampiri 24% daripada kumulatif kes harian baharu.
Kes-kes sporadik agak tinggi berlaku di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Tawau, Penampang, Tuaran dan Sandakan. Di Kota Kinabalu, 83 kes daripada 239 kes adalah dalam kategori bergejala, Tawau 37 kes daripada 137 kes, penampang 27 kes daripada 106 kes, Sandakan 19 kes daripada 62 kes dan Tuaran 27 kes daripada 114 kes.
Menurut laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) semalam sahaja, jumlah kes baharu kembali meningkat kepada empat digit dengan catatan sebanyak 1,062 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 89,910 kes. Berlaku peningkatan sebanyak 113 kes berbanding 949 kes yang dicatatkan pada Rabu lalu (4 Ogos).
Kontak rapat juga terus menjadi penyumbang utama kepada kes harian, iaitu 569 kes atau hampir 54%, manakala kes daripada kluster-kluster catat 123 kes atau 11.58% dan Saringan Bersasar di lokaliti-lokaliti PKPD merekodkan 65 kes baharu atau 6.12% daripada jumlah keseluruhan.
Dengan mengambil kira kes-kes baharu yang semakin meningkat dan peratusan kes-kes sporadik yang bertambah, adalah amat perlu bagi kita untuk lebih meningkatkan kewaspadaan dan disiplin dalam pematuhan SOP serta jangan keluar rumah jika tidak ada urusan mustahak.
Sumber: JPBCNS