Isteri Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hari ini memuji kadar vaksinasi Covid-19 Malaysia yang kini mencatat peningkatan kira-kira setengah juta suntikan setiap hari.
“Ini adalah kadar vaksinasi di AS ketika ini, bezanya AS miliki 10 kali populasi penduduk berbanding Malaysia,” kata Ho Ching dalam catatan Facebook beliau yang turut memuji usaha vaksinasi Singapura.
“Go, go, go!” katanya memberi semangat kepada petugas kesihatan negara itu.
Setakat semalam, lebih 21 juta dos vaksin diberikan di seluruh negara di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada 24 Februari lalu.
Sebanyak 14 juta suntikan dos pertama diberikan sementara lebih kurang tujuh juta suntikan kedua diberikan.
Kira-kira 21% populasi negara kini sudah mendapat vaksin lengkap sementara 29% penduduk dewasa telah menerima dua vaksin.
Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin minggu lalu berkata kerajaan sedang menyasarkan untuk menjalankan vaksinasi lengkap kepada 50% populasi dewasa menjelang Hari Merdeka pada 31 Ogos.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan kerajaan juga kini sedang menyediakan deraf untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka yang menerima vaksin lengkap.
Sumber – https://www.malaysianow.com/berita/2021/08/02/isteri-pm-singapura-puji-kadar-vaksinasi-malaysia/