PETALING JAYA: Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Yassin mengakui kerajaan yang dipimpinnya ketika ini adalah tidak sempurna, namun sentiasa berusaha keras untuk memastikan rakyat tidak terus menderita ketika menghadapi pandemik Covid-19 ini.
Menurut beliau, rakyat kini dalam keadaan resah serta bimbang ekoran dari peningkatan kes Covid-19.
“Bagaimanapun, kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin dengan mempercepatkan proses vaksinasi dan Malaysia merupakan antara negara yang terpantas dalam proses vaksinasi.
“Memang benar, kerajaan ini tidak sempurna, tapi apa yang benar, kerajaan tidak berpeluk tubuh dan membiarkan rakyat menderita. Kerajaan sentiasa bergerak dan bertindak untuk menjaga kesihatan dan nyawa rakyat,” katanya ketika memberi penerangan berhubung Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa apa yang penting pada ketika ini adalah semua pihak perlu bersolidariti dan jangan berbalah serta saling menunding jari.