KOTA KINABALU: Semua Penjawat Awam diingatkan untuk terus memainkan peranan dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan digital yang menyeluruh serta selamat dengan mempelajari ilmu kemahiran digital.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peranan itu penting bagi menyokong komitmen yang ditunjukkan keseluruhan jentera kerajaan dalam menangani semua keperluan berkenaan keselamatan siber dalam negara.
“Justeru semua penjawat awam wajar dan pantas dalam mempelajari ilmu dan kemahiran digital.
“Marilah berganding bahu dengan KSTI dalam penglibatan dan kerjasama berterusan melaksanakan perkara ini sesuai dengan peranan-peranan agensi di bawahnya khususnya Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dan SabahNET sebagai pelaksana ekosistem siber yang selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menyempurnakan Majlis Bimp-EAGA Cyber Security Summit 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa (7 Nov).
Terdahulu, seramai 200 peserta telah menyertai persidangan Bimp-EAGA Cyber Security Summit 2023 yang dianjurkan JPKN dengan kerjasama SabahNET Sdn Bhd.
Persidangan selama dua hari itu turut disertai oleh para pemimpin digital kerajaan negeri, iaitu ketua-ketua pegawai digital, pegawai keselamatan ICT di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri serta beberapa jemputan dari rantau Bimp-EAGA dan juga orang awam.
Untuk rekod bagi status keselamatan siber kerajaan negeri Sabah, sekurang-kurangnya terdapat 500,000 cubaan menceroboh dikesan setiap hari terhadap sistem-sistem aplikasi dan laman-laman kerajaan negeri.
Setakat tahun ini juga, satu insiden pencerobohan dikesan berlaku di satu laman web yang dihoskan di dalam rangkaian Sabah NET, bagaimanapun perkara ini hanya melibatkan ‘defacement’ dan tidak ada kehilangan data yang berlaku.