PETALING JAYA: Seorang lelaki di tahan pihak polis daerah Petaling Jaya atas kesalahan membunuh bapanya serta membalut mayat bapanya dengan langsir.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan mayat warga emas berusia 74 tahun itu yang ditemui pada jam 2 pagi di tepi jalan berhadapan sebuah kondominium di Sungai Way pada Sabtu lalu.
“Siasatan mendapati kesan kecederaan di kepala, tangan sebelah kiri dipercayai patah dan terdapat kesan lebam di bahagian dada mangsa.
“Manakala pemeriksaan di lokasi rumah mangsa pula, terdapat kesan tompokan darah di bahagian dinding dan pintu biliknya serta terdapat kesan seretan di bahagian ruang tamu,” katanya ketika dihubungi media.
Pemeriksaan pada sebuah kenderaan yang disyaki digunakan suspek untuk membawa mangsa terdapat kesan tompokan darah di bahagian tempat duduk penumpang belakang.
“Suspek yang juga anak kandung mangsa telah ditahan kerana disyaki memukul bapanya dengan menggunakan penyodok sehingga menyebabkan kematian.
“Suspek kemudian bertindak membalut mayat mangsa dengan menggunakan langsir sebelum membuangnya di tepi jalan,” katanya lagi.