KOTA KINABALU: Polis daerah Kota Kinabalu menangkap lapan individu yang dipercayai terlibat dengan kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah pada Rabu lalu (23 Ogos).
Operasi Sarang telah dijalankan bermula jam 10 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Kinabalu dengan menggempur Kampung Delima dan Kampung Suang Parai Manggatal yang disyaki menjadi sarang penagihan dan pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi ini berdasarkan risikan danmaklumat awam di kawasan sarang penagihan dan pengedaran dadah di sekitar Kota Kinabalu.
“Kesemua suspek yang ditangkap melibatkan kesalahan yang dibuka atas kertas siasatan melibatkan Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Operasi yang melibatkan seramai seorang Pegawai Kanan Polis dan 9 Pegawai Rendah Polis adalah bertujuan untuk membanteras kegiatan penagihan dadah yang berlaku di kawasan yang didiami masyarakat dan pada masa sama bagi mengembalikan suasana selamat di kawsan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis (24 Ogos).
Tambah Zaidi, operasi seperti ini akan dijalankan secara berterusan agar kesejahteraan dan keharmonian kekal selamanya.