SELANGOR: 10 mangsa dilaporkan terkorban dalam nahas pesawat persendirian terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, Selangor petang tadi.
Turut dilaporkan, Exco Kerajaan Tempatan,Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun antara yang dikhuatiri maut dalam nahas tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang tadi, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di Elmina.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat berkenaa yang berlepas dari Langkawi sudah diberi kebenaran oleh Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.
“Namun pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.
“Semasa terhempas pesawat sama dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing dierkodkan seorang setiap kenderaan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, mengambil masa hampir 10 mini bagi memadam kebakaran.
Mayat semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat.