KOTA KINABALU: Hubungan baik dua negara antara Malaysia dan Indonesia khususnya Kerajaan Sabah semakin kukuh menerusi pelbagai bidang selain pembukaan ibu kota Nusantara di kepulauan Borneo mulai tahun depan.
Konsul Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu, Rafail Walangitan berkata, ia juga dapat dijalin menerusi hubungan kerjasama perdagangan, ekonomi, sosial dan budaya yang semakin meningkat.
“Pada hari ini kita memperingati kemerdekaan Indonesia di Sabah meskipun jauh dari tanah air. Kebanyakkan rakyat Indonesia yang ada di negeri ini hampir 130,000 orang adalah yang bekerja di sektor peladangan dan lain-lain lagi.
“Tentu sekali kita mengharapkan bahawa hubungan baik antara dua negara Malaysia dan Indonesia khususnya Kerajaan Sabah ini semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peringatan Hari Ulang Tahun Ke-78 Kemerdekaan Republik Indonesia di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Rafail berkata, pihaknya turut menasihati kepada semua warga negara itu yang berada di negeri ini untuk sentiasa menjaga jati diri, kesopanan serta martabat sepanjang berada di negara asing.
“Oleh itu, kita minta semua warga Indonesia yang ada di sini untuk sentiasa bersikap dengan baik, bekerja dengan baik, sopan santun dan mengikuti segala peraturan yang ada di negeri ini khususnya dan di Malaysia secara umum.
“Kita juga mengharapkan kerjasama ini semakin membangun selain kita juga berharap akan ada Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) kerana kita belum memiliki untuk sempadan darat, kita hanya memiliki sempadan laut dari Tawau ke Nunukan.
“InsyaAllah dengan pembukaan CIQ disempadan ini akan dapat melancarkan lagi hubungan individu kepada individu dan juga perdagangan,” katanya.
Dalam pada itu, Rafail turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Sabah yang banyak memberikan sumbangan dan memberi perhatian kepada warganegara Indonesia yang tinggal dan bekerja di negeri ini.
“Harapan saya kerjasama ini akan terus berlanjutan ke depan dengan baik dan kepada warganegara Indonesia teruslah menjaga kesopanan sebagai warga Indonesia yang baik,” katanya.